"Ia seorang tua yang bertabiat aneh terlalu pemurah dan
ramah-tamah. Rumah-rumah petak itu didirikannya untuk dipersewakan, tetapi
segenap penyewanya yang terdiri dari kalangan rendah itu, tidaklah memandangnya
sebagai majikan atau tuan tanah tempat mereka menumpang - bahkan mereka anggap
sebagai bapa".
"Lihat olehmu orang yang menang loteri, iaitu ditimpa
laba dengan tiba-tiba, ada yang putus nyawanya ketika itu juga, kerana
kesangatan girang maka laba itu menjadi bala. Engkau tahu sendiri bahawa segala
yang terlalu di dunia ini, wujudnya hanya mati. Terlalu sakit mati, terlalu riang mati, terlalu gelak
mati. Terlalu menangis dan sedih mati. Terlalu dapat laba, mati juga".
"Niat bapa bermula
hendak jadi orang kaya. Tetapi setelah sampai ke mari bapa lihat, kalau orang
hendak jadi kaya mesti berlaku kejam kepada sesama manusia, undurlah bapa dari
niat itu. Bapa ubah niat bermula, ialah biarlah jadi orang yang beroleh sesuap
pagi dan sesuap petang saja, tetapi dapat tenteram dalam hidup, dapat membantu
fakir dan miskin, dapat pula mempunyai tanah untuk beribadat di hari tua".

